Jika anda salah seorang yang sukakan hidangan berkuah seperti sup yang hangat, bolehlah cuba cara masak Sup Telur ini. Buat sekali, pasti anak-anak minta lagi nanti.
Cara masak Sup Telur yang dikongsikan oleh Cik Puan Jue di Facebook ini bukan setakat mudah dibuat di rumah, malah bahan-bahannya pun ringkas saja. Jom kita cuba!
CARA MASAK SUP TELUR
Bahan-bahan:
- 2 biji bawang merah*
- 2 ulas bawang putih*
- 1 inci halia*
- 1 batang saderi (hiris nipis)*
- 4 biji telur
- Sedikit suhun (direndam seketika)
- Sedikit pucuk (boleh guna sayur kegemaran)
- Cendawan kering (rendam dulu dalam air panas 15 minit, perah dan bilas)
- 2 biji kentang (dipotong kecil)
- ½ ketul pati kiub ayam
- Garam secukup rasa
- Daun sup (untuk taburan)
*Bahan bertanda (*) perlu dihiris nipis.
Cara-cara masak sup telur:
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, kemudian tumis bawang merah, bawang putih, halia dan batang saderi sampai wangi dan kekuningan.
2. Tambah air mengikut kepekatan sup yang diinginkan. Jika suka banyak kuah, letak lebih air.
3. Masukkan ubi kentang yang telah dipotong kecil dan masak sampai empuk.
4. Setelah ubi lembut, masukkan cendawan kering yang telah direndam dan dibilas bersih. Masukkan juga suhun dan pucuk sayur yang telah direndam sekejap tadi.
5. Tambahkan garam secukup rasa dan ½ kiub pati ayam. Kacau perlahan.
6. Pecahkan telur satu demi satu ke dalam sup. Jangan kacau, biar ia mendidih dan telur mengeras perlahan-lahan supaya cantik dan tak hancur.
7. Setelah mendidih, taburkan daun sup sebagai hiasan, kemudian tutup api. Siap untuk dihidang!
Sup Telur sedap ini bakal jadi kegemaran anak-anak. Setelah siap, boleh makan dengan nasi panas atau boleh ratah macam itu saja pun sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Cik Puan Jue
0 Ulasan